Sunday, December 27, 2009

Kerjaya atau Duit? Duit! Duit? ..

Seorang bakal graduan bertanya kepada saya beberapa soalan yang dititipkan terus ke laman rangkaian sosial facebook;

"Nak tanya sikit, berapa biasanya bayaran (upah) animator untuk (tugasan) satu scene?"

"Berapakah basic (gaji) 3D animator sekarang utk fresh (graduan) dan kurang terlatih?"

"Berapa pula charge scenes (ekstra?) setelah ditolak scenes wajib buat dlm sebulan itu?"

* soalan-soalan diatas di copy-paste terus ke sini dengan sedikit modifikasi pada ayat agar lebih jelas maksud persoalannya.

Sehingga sekarang saya masih memikirkan jawapan yang harus diberi.

Dan rasanya saya tidak akan mahu menjawab soalan-soalan itu. Sebabnya, saya pasti jawapan saya nanti tidak akan memuaskan hatinya. Cuma kalau boleh saya ingin bertanya kembali kepada "mangsa".. kenapa memilih untuk terjebak di bidang kreatif dan rekaan? Adakah kerana suka-suka? Atau kerana menyangkakan kerjaya di bidang ini menjanjikan wang berpikul-pikul. Ataupon bakal-bakal mertua tidak teragak-agak menerimanya sebagai menantu? Atau mungkin inginkan layanan kelas pertama seperti kerjaya profesional yang lain.. doktor, akauntan, majistret misalnya? Jika itulah antara perkara yang anda harapkan, jawapan saya ialah KENAPA TIDAK?

Ya, anda pasti boleh mendapatkan semua yang anda harapkan malah lebih daripada itu! Ini kerana kerjaya di bidang kreatif dan rekaan (industrial designer, arkitek, graphic artist, pemuzik, animator, pembikin filem dll.) sepatutnya menjadikan anda seorang yang sempoi dan rock steady - yeh! Ini tidak berlaku kepada mereka yang berpaling dari menghargai seni serta kreativiti. Manusia begitu tidak mempunyai jiwa atau lebih tepat lagi mereka sebenarnya adalah zombie.

Suka? Jika itu bukanlah berita baik kepada anda, mari kita fahami kenapa saya katakan kerjaya dibidang kreatif mampu memenuhi apa yang anda harapkan. Anda pasti suka dengar bahagian ini - "Anda SEBENARNYA BOLEH! membuat wang berpikul-pikul sehingga menjadikan anda bakal buruan mertua terdesak dan seluruh alam ini pasti ingin menawarkan layanan kelas pertama kepada anda". saya ulang.. SEBENARNYA BOLEH!

Kalau boleh, bagaimana caranya?

Mula-mula anda kena belajar bezakan dua perkataan. GAJI dan PENDAPATAN. Kerana gaji adalah sebahagian daripada pendapatan. Pendapatan pula bukanlah datang daripada sumber gaji semata-mata. Jadi simpan dan bina kerjaya impian anda sekarang. Jangan sia-siakan. Tidak perlu balik ke kampung membela ayam. Tidak perlu menjadi tukang jahit. Tidak perlu memohon menjadi guru lepasan ijazah. Kalau tidak ikhlas.. tolong JANGAN!. Anda cuma akan merosakkan masa depan generasi muda. Apa yang anda perlu buat ialah merancang untuk menambahkan pendapatan.

Disini saya senaraikan sumber-sumber lain pendapatan;

1. Upah sebagai freelancer / part-timer
Doktor pun buat kerja part-time, cikgu pon sebok ambil kelas tuisyen. tidak terkecuali orang-orang yang bekerja gomen. Pensyarah contohnya. Apalah nak dihairankan..

2. Dividen
Kepada orang-orang yang selalu beringat untuk menyimpan, mereka akan mendapat wang dengan pengagihan dividen. Dengar cerita ASB bagi 8.55% tahun ni. Senyum pelabur ASB.. Apa kata kita mulakan simpanan hari ini?

3. Bonus
"Duit terpijak" yang diagihkan oleh syarikat tempat kita bekerja ataupon agensi yang menguruskan pelaburan kita. Ini bergantung kepada prestasi kewangan mereka. Jadi kerjalah dengan ikhlas dan rajin. Kalau syarikat beroleh untung besar, silap-silap ada bonus!

4. Aset
Harta yang menjana "aliran positif" seperti rumah yang disewakan boleh dikira sebagai "pasive income". Jadi sebelum membeli kereta melaram yang sudah tentu menjadi besi buruk dalam jangkamasa 15 tahun lagi, fikir-fikirlah dahulu. Seterusnya fikir-fikirkan lagi dan lagi..

5. Untung Perniagaan
Cuba-cubalah belajar berniaga. Ilmu perniagaan boleh ditingkatkan melaui pembacaan dan perkongsian pendapat dengan jaringan sosial anda. Jadi, pergilah berkawan. Jangan asyik main video games, menonton DVD dan melayan "jiwa emo" anda.

Sebenarnya banyak lagi sumber-sumber pendapatan lain. Cuma memerlukan sedikit kreativiti untuk menjananya. Serasa saya, hidup di Malaysia ini sesiapa jua yang pendapatannya melebihi jangkaan pasti meraih multiple income melalui beberapa aktiviti yang berlainan. Cuma perkara terbaik menceburi bidang kerjaya yang kita suka ialah - kita boleh melupakan langsung mengenai persaraan! Hey, kenapa perlu bersara daripada membuat (kerja) apa yang kita sedang suka. Yang perlu cuma sedikit rehat sekiranya terasa pancet.

1st class kan?

Wednesday, December 9, 2009

KANCIL akan ke sekolah!

Siri animasi KANCIL episod 1 & 2 akan menemui adik-adik anda apabila ia akan diedarkan dalam bentuk DVD ke 8,100 buah sekolah rendah di seluruh Negara mulai Januari 2010. Ini menjadikan KANCIL, siri animasi pertama terbitan tempatan yang diiktiraf sebagai bahan P&P (Pengajaran & Pembelajaran) untuk tahap 1 (pra-sekolah sehingga tahun 3).

Penerbitan KANCIL pada asalnya bukanlah dirancang secara khusus untuk tujuan ini. Namun ruang yang sebegini baik kami sambut dengan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana telah memberi kepercayaan.

Thursday, December 3, 2009

Mengapa memikul biawak?

"Bagaimana mahu hidup senang?" - tanya seorang kawan lama seminggu lepas. Heheh.. ini soalan biasa! Saya pon selalu juga tanya diri sendiri kadang-kadang. Cuma, adakah kita memang mahukan jawapan atau sebetulnya soalan tadi sekadar keluhan di kala susah. Bila kita dah senang sikit.. kita pon akan lupa terus tentang persoalan itu.

Kalau mahukan jawapan yang bagus, berjumpalah dengan financial consultant. Saya memang tidak begitu reti dalam bab-bab "ayuh ganda wang anda" atau "marilah menjadi superhebat, pasti kita akan kaya-raya". Cuma kalau saya boleh kongsi pendapat saya akan berkata begini; "mengapa memikul biawak (beban yang mencabar dan mencakar-cakar)?

Berikut adalah beberapa jenis biawak pada hemat saya.

1. Kereta
Kereta pertama yang paling layak untuk mereka berpendapatan RM2000-2500 adalah kereta terpakai 5-7 tahun, berharga tidak lebih RM30,000. Sebaiknya aturkan wang pendahuluan yang membolehkan kita membayar ansuran tidak lebih RM500 selama maksimum tiga tahun. Kenapa? Kerana drop value kereta sebegini tidak begitu ketara selepas tiga tahun. Nilai kereta kita masih di sekitar RM20,000-25,000. Ini membolehkan kita merancang untuk menjualnya semula dan membayar harga kereta baru dengan deposit yang lebih tinggi kelak.

2. Kad Kredit
Yang ini tak payah ceritalah. Faham-faham sendiri sahaja.

3. Rumah
Beragak-agaklah beli rumah. Rumah besar ni, lapang mata tapi sesak nafas. Rumah merupakan pelaburan. Betul. Rumah juga boleh jadi biawak hidup. Juga betul. Kalau dah sesak kenapa tidak jual sahaja rumah yang hebat di kawasan serba mahal. Pindah di rumah yang lebih kecil (mampu) di kawasan yang baru membangun. Anda akan dapat beberapa kebaikan; Rumah kecil lebih senang diurus. Tidak banyak ruang untuk letak perabot (jimat wang). Kos penyelenggaraan yang lebih murah. Potensi lonjakan nilai hartanah yang lebih baik (dan menguntungkan). Boleh aturkan settlement lebih cepat. Cepat habis bayar, tak perlu berhutang lagi!

4. Personal Loan
Nak kahwin ambil personal loan? Hah! Silap besar.. Berbelanja RM30,000-50,000 untuk majlis perkahwinan dengan menggunakan wang yang dipinjam adalah kerja yang paling hilang akal sekali. Ya, sekiranya wang itu ditaja oleh keluarga dan mertua anda, silalah perabis. Sekiranya tidak..,

5. Diri Sendiri
Paling parah. Jangan lupa diri kita sendiri kalau tak betul-betul pon boleh jadi liabiliti. Manusia-biawak biasanya mempunyai kecenderungan berbelanja lebih dari pendapatannya. Jangan tertipu dengan gaya kasual yang mewah, kereta besar, rumah besar dan cakap-cakap besar. Ini semua memang tabiat dan habitat beberapa ekor "biawak jadian" yang pernah saya kenal pasti.

Sesungguhnya biawak-biawak diatas boleh diuruskan dengan baik kalau kita sedikit "berkira-kira" dalam berbelanja. Biawak-biawak ini juga boleh dimanupulasi dan dijadikan ejen mengumpul dana yang cemerlang sekiranya kita tahu bagaimana mahu menjinakkannya.

Soal mahu senang? Jangan banyak hutang!

Friday, November 20, 2009

Malas itu indah (kerana hidup ini gay).

Ah, malasnya ku melangkah ke sana.

Semenjak dua ini entah beberapa kali saya dikunjungi rakan dan kenalan yang ingin mengajak saya melabur atau menyertai rancangan perniagaan mereka. Untuk itu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas pelawaan. Ada diantara rancangan-rancangan itu memang sangat baik dan strategik sekali. Bukannya tidak sudi, jauh sekali berprasangka bukan-bukan. Sebenarnya saya ini MALAS. Ya, itulah kebenarannya.

Saya cukup malas berbuat apa sahaja yang saya tidak mahu dan tidak tahu. Sebab itulah saya mesti extra-RAJIN berbuat apa sahaja pekerjaan yang saya "mahu" dan "tahu" di muka bumi ini. Lagipon saya tidak mahu menjadi seorang ULTRAMALAS pula. Apa yang saya mahukan sebenarnya bukanlah banyak mana sangat dan pengetahuan saya juga terhad kepada perkara-perkara yang menjadi keperluan dan minat saya sahaja.

Sungguh! Sindiket saya sekarang pon meriah aktiviti-aktivitinya. Jobo jugalah walaupon tidak diwarta ke tahap dewata . Setakat ini memang cukup "gay". Boleh tahan.

Dalam berusaha mencari sesuatu,

Kekurangan disini sudah cukup buatku
Apa yang kugenggam itulah harapan
Kelebihan yang datang? - Suatu kesyukuran
Selagi dapat menyedut ketenangan..
Sehingga terasa dijiwa nikmatnya.

Salahkah menjadi "gay"?

* The term gay was originally used, until well into the mid-20th century, primarily to refer to feelings of being "carefree", "happy", or "bright and showy".

Monday, October 12, 2009

Sempoi; suatu yang tidak ternilai.

Sangat jelas, beberapa perkara dalam kehidupan ini memang terlalu sempoi untuk diketepikan begitu sahaja. Sungguh, sempoi itu membahagiakan. Anda tidak perlu gelojoh untuk berasa sempoi dan tidak perlu sama sekali menjual sedara-mara untuk membayar harga kesempoian. Walhal sempoi - tiada tara nilainya.
.
Sempoi yang bermula dari jiwa sempoi, pasti akan mengekspresikan hari yang sempurna. Tidak perlu terkejar-kejar memborong segala. Duniawi semua tu. Sepiring nasi lemak sambal paru, telur goyang dan teh tarik di waktu pagi (10.45am) pasti melengkapkan kesempurnaan. Ianya boleh diperolehi hampir disetiap gerai tepi jalan Sg. Chua, Kajang. Cekidot! Disusuli aktiviti kebudayaan seperti jamming dan bersosial bersama teman-teman yang tidak berprotokol di sebelah petang. Amat baik untuk membangun sistem imunisasi diri daripada jiwa kacau dan wabak yang sewaktu dengannya. Ini perlu, kalau tidak nanti jadi meracau-racau.

Thursday, October 8, 2009

Suku tahun terakhir '09

Pantas!

Memang tak terasa dah suku tahun terakhir. Kurang tiga bulan sahaja kita akan meninggalkan 2009 dan menjengah ke 2010. "Ada untung ke?" - soalan biasa yang dibisik-bisik sesama teman-teman sepencarian. Bukan apa, kalau ternyata "ada", patutnya "ada" jugalah acara-acara ria seperti jalan-jalan, makan-makan dan agih-agihan keber"ada"an. Al-maklumlah, jenuh bergasak dengan rutin kerja berpanjangan. Saya orang yang bekerja. Maka, saya juga membisik dan dibisik-bisikkan perkara yang sama.
.
Kala ini juga biasanya saya telah mula mencongak peluang-peluang niaga yang pasti atau sekadar barangkali - untuk tahun hadapan dan berikutnya. Bukan apa, kalau tersalah congak boleh jadi kalut nanti. Al-maklumlah, persaingan hari sangat deras dan kasar. Silap-silap rezki yang sudah didalam mulut sekalipon tidak mustahil dirembat "orang" - (orang ke macam ni?) . Saya juga orang berniaga. Maka, saya berdoa kepada tuhan agar perusahaan saya diberkati tuhan. Moga teman-teman sepencarian semua dilimpahi rahmat hendaknya. Amin.
.
Kepada Saudara & Saudari yang mengenali saya dan keluarga, diucapkan selamat menyambut hari raya aidilfiri. Rasanya sempat lagi ni buat ucapan kan? (hehehe) Kalau ada kelapangan sudilah kiranya memeriahkan Majlis Hari Raya "Aniotek & Superfriends" yang bakal diadakan pada 17hb Oktober 2009 di hadapan sarang perusahaan saya di Sg. Chua, Kajang. Untuk kenalan rapat, InsyaAllah saya susuli dengan jemputan rasmi berupa e-card dan e-mail.

Wednesday, September 9, 2009

999

Apa istimewanya hari ini pada anda? Biasa mungkin. Sama seperti hari semalam dan hari-hari sebelum semalam. Saya juga merasakan begitu. Tiada apa yang istimewa sangat. Cuma kombinasi nombor pada tarikh hari ini membuatkan saya terpanggil untuk merepek-repek di ruangan ini. Kebetulan saya mempunyai sedikit lebihan masa. Maka, hari ini adalah 9 September 2009 ataupon 999.

Bukanlah seorang yang taksub dengan nombor ataupon percaya bahawa nombor-nombor tertentu akan menentukan nasib alamat. Tetapi nombor 9 adalah nombor kesukaan. Kerana nombor 9 sangat significant dengan perjalanan kehidupan saya. Kebetulan sahaja. Tiada apa-apa unsur ajaib mahupon mistik. Sekerasnya saya menyangkal sebarang dakwaan tak masuk akal yang mengaitkan saya dengan sebarang nombor. Jadi jangan biarkan diri anda diselubungi misteri ya!

Perihal 9 merupakan nilai terbesar dalam kumpulan angka. 9 juga nilai terakhir. 99 nombor terakhir sebelum menjadi sa-ratus. 999,999 adalah nilai terakhir sebelum sa-juta. 9 memerlukan lapan huruf untuk mengejanya dalam bahasa melayu = s e m b i l a n. Paling banyak huruf antara semua nombor. Jika menambah huruf "g" pada hujungnya ia akan menjadi "sembilang" sejenis ikan kegemaran saya. Sama ada goreng berlada atau pon disalai masak lomak cili padi lawan belimbing burung, sembilang pasti membuat air liur saya kecur.

Beberapa peristiwa penting dalam kehidupan saya berkait dengan angka (tahun) 9. Berikut adalah antaranya; Pada tahun 1979 Atuk kesayangan saya meninggalkan dunia ini selamanya. Atuk seorang penagih teh tegar. Setiap pagi dan petang kami akan lepak di kedai Ah Kaw untuk menikmati saat indah menge-teh bersama. Atuk tak suka menom di kedai melayu. Katanya orang melayu tak pandai rendam teh. Saya rasa itu cuma alasan Atuk yang memang anti-sosial dan bersikap cukup kritikal terhadap orang-orang kampung yang suka buang masa main dam dari subuh ke tengah malam di warong Ujang Rimau. Agaknya lah.. Hah, menom teh kedai Ah Kaw ni tak lengkap kalau tidak dinikmati bersama roti stim kayanya. Bila sampai roti tu berasap je. Lembut betul! Cawan dan piring kedai cina ni pula memang unik. Buatan seramiknya cukup baik. Tebal. Yang paling layan ialah semasa mengacau teh. Boleh kacau kuat-kuat sampai berdenting satu kedai boleh dengar. Tak perlu risau. Cawannya tak akan pecah punyalah. Memang klasik habis. Sama klasiknya seperti menom kopi di stesen keretapi Kluang. Ha.. yang ni lain kali cerita.

Tahun 1989 adalah tahun saya melangkah ke alam sekolah menengah- Kajang High School. Disinilah dunia rock n roll bermula. Zaman remaja yang tak seindah mana. Penuh dengan kekerasan dan parut. Saya menempuh zaman gelap ini dengan jiwa rebel bersarang tebal didalam paru-paru. Udara yang dihirup berbau benci semata-mata. Lebih tragis lagi apabila saya terjebak dalam satu kemalangan separa ngeri di sekolah. Kaki kanan saya patah tebu. Itu berlaku pada 9 / 9 / 89. Makan dalam sungguh peristiwa ini. Saya diketepikan dari segala macam aktiviti yang membabitkan kecergasan fizikal. Bagaimana rasanya apabila anda berada di sekolah yang pelajarnya semua lelaki dan tidak dibenarkan melibatkan diri dengan kegiatan fizikal? BOSAN! Memang itulah ungkapan paling tepat. Namun itulah juga kehendakNya. Inilah titik-tolak dimana saya mula berjinak-jinak dengan muzik, mengenali sisi lain diri dan siapa sangka akhirnya mencorakkan pula seluruh masa depan. Saya tertangkap oleh perasaan (memang perasan habis) minat kepada hampir semua cabang seni visual dan mula mengeksploitasi potensi diri dalam bidang ini. Untungnya, ia benar-benar membawa saya kepada landas impi dunia.

1999. Tahun pertama saya di Universiti. Saya memanfaat peluang ini. Cuba mengejar masa-masa yang tercicir sebelumnya. Memang puas. Bukan sekadar menempa kelulusan akademik. Sempat pula bereksperimentasi tentang hampir segala teori musykil dan kekeliruan. Bukan apa, supaya tak akan ada rasa sesal sikit pon apabila melangkah keluar nanti. Perlu terjah untuk beberapa kepastian! Disinilah saya belajar mengenal hati budi manusia-manusia yang gah dengan label jenama keluarga masing-masing didahi mereka. Bermacam warna. Ada yang suci bersih. Tak kurang juga yang berdaki berkapang-kapang. Cuci dengan klorok pon belom tentu hilang kotoran degilnya. Ada yang masih memakai lampin tak puas menyusu. Jenis ini memang lambat dewasa. Silap gaya kita yang jadi bibik galang-gantinya. Terima kasih juga pada sesiapa yang pernah sudi meminjamkan cebisan hati kering mereka. Walaupon plastik, boleh juga digunakan untuk membungkus sampah-sampah memori. Kepada geng-geng peleseran dan lasmenet maut.. lu orang memang terbaik! Juga tak lupa kepada para junior yang sanggup merisikokan masa depan demi kelangsungan gig haram yang beberapa kali berjaya kita anjurkan.. gua bangga dengan lu semua! Mesti SRC dan USRAH pon tumpang bangga dengan kita.

Pantas betul masa berlalu. Dah 2009. Alhamdulillah. Masih hidup. Sihat. Anak pon dah berderet-deret. Perniagaan yang saya usahakan masih bertahan. Ada kemajuan juga. Walaupon tak adalah sangat tapi adalah seberapa. InsyaAllah hujung tahun ni rasanya terhasil sebuah siri animasi yang saya terbitkan. Ini adalah usaha julung kali berani mati. Mengalir air mata darah. Patah sayap bertongkat paruh. Nekad. Biar parah. Punah. Redah tetap redah. Semoga tuhan tunjukkan arah!

Itulah cerita "9" dan saya. Jawa kata songo. Pernah dengar cerita wali songo?

Saya lahir tanggal 23 / 9 / 76. Kombinasi ini boleh diubahsuai kepada 2+7 / 9 / 3+6 = 9 / 9 / 9. Sekiranya 2+3+9+7+6 = 27 dibahagikan semula kepada 3 segmen tetap jawapannya 9 / 9 / 9 dan 2+7= 9. Mungkin ada yang ingat saya pernah memiliki sebuah kereta Honda civic bernombor plet 699. Cuma kebetulan. 69? Yang ini tiada kaitan.

Sekiranya 666 (number of the beast) dikaitkan dengan unsur-unsur kejahatan, 999 cenderung dikaitkan dengan perkara-perkara elok. 999 di TV3 memaparkan berita-berita mutakhir kejadian jenayah di negara kita. Pengacaranya yang semakin "senior" itupon masih tak kalah bergetah berbanding anak gadis 19 tahun.

Jadi, terima kasihlah kerana membuang masa anda membaca cerita karut-marut ini. Ingati hari ini dan jadikanlah ia hari terbaik hidup anda. 999 bukan berlaku hari-hari.

Jika anda rock laporkan diri anda. Dail 999 untuk OTEK.

Sunday, August 30, 2009

Macam-macam hal.

Ogos 2009 berlalu pantas. Banyak perkara, bermacam peristiwa. Nampaknya laman sesawang ni bersawang seketika. Bukannya sebok sangat pon. Cuma agak sesak. kadang sesat sampai penat. Pasal tu tak bercatat. Biar je berkarat!


Festival Film Malaysia ke - 22
Cerita basi ni dah habis dekat sebulan lalu. Saya pon tak berminat hendak mengulas apa-apa mengenainya. Cuma ingin mengucapkan tahniah atas penganjurannya dan terima kasih FINAS kerana menaja penerbangan (err.. dan perkara lain juga) saya ke Sabah. Layanan orang Sabah memang hebat dan ramah. Saya pasti kembali bah.. Jaga-jaga bah!


Sentuhan Magis
Industri animasi Negara pasti tambah meriah dengan kemunculan sebuah kumpulan animasi baru yang mengelar diri mereka Animagis Sdn. Bhd. Syarikat ini sebenarnya dimiliki oleh rakan sekelas saya di MMU dulu iaitu Mohd. Zahir bersama rakan kongsinya Mohd. Nizar atau lebih dikenali sebagai Ijal (bekas ketua animator di Aniotek). Banyak lagi yang boleh saya ceritakan tentang komplot mereka ni. Nantilah kita cuba buat temuramah khas dengan tuan tanahnya.


Video Klip 1 Malaysia
Psychotek antara yang terjebak dalam penerbitan video klip 1 Malaysia untuk tayangan sepanjang bulan kemerdekaan di RTM. En. Hafifi (toke Psychotek) boleh tersengeh lebar kerana video klip arahannya terpilih antara 6 yang lain untuk tayangan waktu perdana. Lagu ditulis oleh Pak Ngah dan lirik Siso. Tahniah semua!


Selamat Berpuasa
1 Ramadhan dikejutkan dengan anak sulung saya Tufah, terpaksa dikejarkan ke hospital akibat demam panas. Hasil pemeriksaan mendapati Tufah positif Influenza A & B memaksanya ditahan di wad. Alhamdulillah, setelah 3 hari rawatan anak saya tidak menunjukkan apa-apa kecenderungan atau symptoms yang ketara kepada H1N1. Tapi memang cemas. Tak lelap tidur dibuatnya. Kepada anda yang mempunyai anak-anak kecil, lindungi dan jauhkan mereka dari wabak yang cukup merbahaya ini dengan mengelakkan diri berlonggok di tempat ramai orang. Contohnya musim perayaan, kalau membeli belah atau ke pasar Ramadhan sebaiknya janganlah bawa anak-anak. Paling kurang, tak lah risau anak hilang ke apa.. ye tak?


Merdeka!
Merdeka ke? Luas skop merdeka ni kalau ingin dikupas. Ah, lain kali sahaja. Paling tidak, selamat memerdekakan diri dari belengu irama jiwa kacau ciptaan sendiri! Saya tahu hari ni ramai antara kita yang tak sudah-sudah bergelut dengan krisis kewangan. Nampaknya rasa ingin pada segala daki didunia ini membuat minda kita terjajah oleh kehendak. Tapi janganlah merasa bersalah. Sebaliknya, cubalah berasa hebat. Sekurang-kurangnya itulah perkara terbaik boleh anda lakukan ketika ini.


31 Ogos
Saya dan isteri berkongsi tarikh keramat "ulangtahun perkahwinan" kami dengan peristiwa kemerdekaan Negara. Tahun itu tidak pernah berulang lagi.. cuma bulan Ogos itu yang telah 6 kali berulang. Kenapa tak namakan sahaja "ulangbulan perkahwinan"?

Happy anniversary bebeh..

We've had our share of hard times
But thats the price we paid
And through it all we kept the promise that we made
I swear you'll never be lonely..

Tuesday, August 11, 2009

Rock untuk rakyat.

Saya berkesempatan berlonggok di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 1 Ogos lepas tak lain tak bukan bertujuan merakyatkan muzik rock. Kononnya ini adalah konsert SEARCH yang terakhir bagi siri terakhir jelajah (di Awan Biru) mereka. Saya tidak berminat mengulas ataupun memberi pandangan tentang kualiti pengurusan / audio / persembahan konsert tersebut kerana tujuan saya kesana hanya untuk "berockenroll"!

Jiwa-jiwa tenang akan memilih jalan yang benar seperti tampil jujur di konsert rock. Tiada FRU, tiada penyembur air dan tiada sirna. cuma CINTA.

Keghairahan pesta rock memang terasa sebaik sahaja menjejakkan kaki ke tempat kejadian. Memang meriah dengan mat-mat dan minah-minah rock berpeleseran sana-sini. Sesekali kelihatan brader-brader berseluar fit corak kulit rimau, baju Loudness senteng dan rambut kembang cuba mencuri tumpuan. Terimbau kembali zaman funfair dan Pesta PD tahun-tahun 80-an dulu. Sungguh nostalgik.

Walaupun obesiti berleluasa namun kami tetap yakin ianya tidak akan menjadi penghalang untuk beronggeng secara optimum.

"Majlis" ini juga menjadi medan mempertemukan saya dengan rakan-rakan lama era busuk-busuk dulu. Rata-rata ramai yang dah berbini dan beranak-pinak. Ada juga yang gagal melepaskan diri dari kurungan kaum isteri malam itu sekadar mampu berkirim salam. Kasihan. "Siapa pula yang hendak diharap menukar lampin anak dan menemankan bapa mertua berbual dirumah nanti?" antara kata-kata alasan kesal yang dititipkan ke facebook. Tidak mengapalah. Anggap sahaja semua itu pahit getir hidup! Kita cuba lagi lain kali sahaja sahabat.

Dan sebaik sahaja muzik SEARCH bergema apalagi yang boleh kami katakan?

Aksi Amy dan Kid bersama gitar barunya. Kehilangan gitar KRAMER hijau dari dunia rock tanahair masih terus menjadi misteri.

"God gave rock n roll to you, put it in the soul of everyone"

Wednesday, July 29, 2009

Pesan Atuk

Atuk pesan dulu,
"Hidup ni kena pandai kira-kira.
Jangan berkira dan mesti berkira-kira".
Ringkas dan padat!

Atuk saya orang Rembau, Negri Sembilan yang terkenal dengan bahasanya berkias-kias. Dalam maksudnya tu..

Kira-kira bermakna matematik. Kenalah pandai matematik. Kalau tak pandai mengira bagaimana nak berniaga? Asyik salah kira sahaja. Cepatlahlah lingkupnya nanti. Namun dalam konteks ini bukanlah matematik sahaja. Tapi apa yang atuk maksudkan sebenarnya adalah ilmu. Dan ilmu adalah asas ekonomi. Penguasaan keatas sumber ekonomi menyumbang kepada kelangsungan survival.

Jangan berkira! Sikap kederek yang keterlaluan sebenarnya hanya merugikan seseorang itu. Jarang sekali saya mendengar mana-mana susuk di bumi ini yang disukai kerana terlalu berkira. Dia mungkin disanjung secara tidak ikhlas kerana kedudukannya. Tapi pasti jiwanya kosong kerana selalu "ditinggalkan dunia" sebelum "meninggal dunia". Amalan berkira juga sering ditonjolkan sebagai penegasan status sosial. Kedudukan (dakwaan duniawi) tinggi dalam satu-satu komuniti akan secara automatik meng"halal"kan seseorang itu berkira dalam jerih payah berusaha. Lebih haru lagi apabila susuk-susuk ini mengaku secara terang-terangan kemudiannya, bahawa hasil dan faedah keatas usaha itu adalah hakmilik mutlaknya secara berseorangan. Barulah haru-biru blues cakap lu..

Mesti berkira-kira. Maknanya hati-hati. Perbuatan dan juga tiap- tiap perkataan. Kerana setiap aksi ada harganya. Di dunia dan di sana. Jaga-jaga! Umpama menarik rambut dari dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Begitulah pesan atuk.

Tapi manusia buat silap. Saya juga manusia. Bukan sedikit kesilapannya disana-sini tuk.. Asyik terbabas sahaja! "Ah.. tak mengapa" kata atuk. "Silap ditengah jalan, balik ke pangkal jalan. Susahnya kalau sesat dihujung jalan". Kalau macam tu, bagaimana pula? Haa.. kata atuk - "biarkan sahaja Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kira-kira menghasilkan nilai. Apakah nilai? Mungkin setiap orang akan memberikan makna tersendiri jika ditanya soalan ini. Menurut kira-kira saya, nilai cuma spekulasi. Apa nilai yang ada pada sekeping not bertulis RM50? Jawapannya adalah kepercayaan bahawa kertas itu adalah perantara untuk menebus barang atau pun servis yang setara dengan kualiti yang ditawarkan. Ya, nilai adalah spekulasi kualiti.

Sesetengah orang berusaha keras untuk memiliki simbol-simbol nilai. Simbol-simbol ini antaranya adalah kereta mewah, rumah-rumah besar dan tidak terkecuali juga cakap-cakap besar. Semua ini akan memperlihatkan bahawa diri mereka lebih berkualiti daripada orang lain. Benarkah begitu? Ini hanya spekulasi! Usaha-usaha sebegini sebetulnya sudah amat lapuk dan kolot. Mengapa saya berkata begitu? Saya akan beri contoh yang mudah;

Pernahkah anda melihat seorang gadis yang sangat cantik terpikat pada seseorang yang tidak hensem? Sudahlah tidak hensem, tak berduit pula tu. Dimasa yang sama seorang lelaki poyo yang mendakwa dirinya sangat-sangat berduit telah ditolak lamarannya oleh gadis tersebut. Bagaimana semua ini boleh berlaku? Ini mungkin disebabkan oleh kualiti yang dimiliki oleh si tak berduit tadi menepati kehendak (kepercayaan atau harapan terhadap penawaran kualiti dipenuhi) gadis itu. Jadi, nilai itu bukanlah hanya semata-mata berapa banyaknya uang di kantong. Setujukah?

Ahh.. karut! Kalau cerita penarik becha (P. Ramlee) bolehlah begitu.. Baiklah, saya beri satu lagi contoh yang lain;

Dua syarikat akan membentangkan cadangan masing-masing untuk merebut satu peluang projek yang bernilai RM200,000. Syarikat A adalah sebuah syarikat yang berpengalaman 20 tahun. Wakil syarikat adalah seorang yang dinamik, berpenampilan menarik dan sangat mahir berbahasa Inggeris. Menonjolkan simbol-simbol nilai (spekulasi) yang ketara. Sekaligus menyatakan (isyarat) kemampuan syarikat dalam mengendali dan melaksanakan projek tersebut. Ini memang menjadi amalan semenjak 20 tahun dahulu lagi. Manakala syarikat B pula sebuah syarikat yang baru 2 tahun. Diwakili oleh pengarah muda yang bercita-cita tinggi. Beperwatakan sederhana dan tidak pandai berdialog berbunga-bunga berjela-jela. Diakhir perbentangan syarikat B akhirnya telah dipilih. Komiti projek percaya syarikat B mampu melaksana dengan lebih baik berdasarkan persembahan yang jelas dan idea yang di luar kotak. Inilah kualiti ketara yang dimiliki oleh syarikat B. Nilai kualiti tersebut adalah RM 200,000 pada hari kejadian.
Jelas, nilai adalah spekulasi kualiti.

Sesungguhnya nilai "sebenar(?)" sesuatu perkara itu adalah sangat bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Lihatlah dengan hati yang ikhlas tanpa prejudis. Setiap manusia itu mempunyai kualiti yang berbeza-beza. Segalanya di dunia ini term loan sahaja. Apa yang ada itu sebenarnya tiada.

Apakah nilai manusia? Sama.

Tuesday, July 21, 2009

KANCIL

Saya memang menunggu masa paling sesuai untuk memperkatakan tentang projek istimewa ini. Saya percaya sekarang adalah ketikanya!

Sang Kancil merupakan salah satu watak lagenda terkenal dalam cerita teladan dan cerita dongeng tempatan di era terdahulu tanah air kita. Cerita Sang Kancil boleh didapati melalui buku-buku dan penceritaan lisan generasi tua. Walaubagaimanapun ramai antara generasi muda belum berpeluang membaca dan mendengar tentang KESELURUHAN kisah khazanah rakyat ini. Oleh yang demikian, atas hasrat mendokumentasi dan seterusnya memelihara material budaya yang tidak ternilai ini, Aniotek Sdn. Bhd. mengambil inisiatif untuk mempopularkan kisah "Sang Kancil" terutamanya kepada golongan muda. Hasrat ini disasarkan bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa secara umum dan seluruh pelusuk nusantara khasnya. Kisah ini akan diolah dalam bentuk 26 episod siri animasi 3 Dimensi (3D Animation).


Episod pengenalan KANCIL - Watak Rimba

Kisah hikayat Sang Kancil bermula di sebuah hutan belantara di bawah pemerintahan Raja Sulaiman. Watak Kancil mewarnai jalan cerita sebagai haiwan yang kecil tapi sangat bijaksana, manakala Harimau yang gagah, tapi pendek pula akalnya dan sangat mudah diperdaya. Untuk melepaskan diri dari dibaham, Kancil mengaku sebagai pemegang amanah Raja Sulaiman untuk menjaga ‘Gong Sakti’. Harimau yang pada awalnya berniat untuk menjadikan Kancil sebagai makanannya, dengan bingai memalu gong sakti yang kononnya milik Raja Sulaiman itu. Sikap terburu-buru Harimau yang cetek kira-kira memudahkan Kancil menyelamatkan diri dengan mengalih perhatian Harimau pada gong sakti. Akhirnya Harimau menerima akibat yang memudaratkan dirinya sendiri.

Animasi ini dihasilkan dengan teknologi 3D sepenuhnya. Cara kerja animasi digital memudahkan dan meringkaskan beberapa keperluan dalam animasi tradisional tetapi pada peringkat pre-produksi, cara kerja animasi tradisional masih diamalkan seperti merekabentuk watak, gambaran latar belakang, penghasilan papan cerita (storyboard) dan juga penghasilan konsep seni (concept art). Walaupun terdapat beberapa perisian terkini bagi memudahkan perjalanan pre-produksi ini, tetapi pengarahnya; Mohd Zahir Zainal Abidin lebih mempercayai dengan hasil tangan para artis secara manual. Lagi feel katanya.. (sambil mengherot-herotkan mulut).

Zahir dengan pose standardnya

Peringkat produksi dan post produksi animasi ini dilakukan dengan bantuan teknologi komputer sepenuhnya. Kesemua komputer desktop workstation para animator dihubungkan dengan satu sistem network bagi memudahkan aliran kerja dan juga perkongsian data file animasi. Ini adalah kerana setelah pra-produksi berjalan, setiap karakter 3D yang dihasilkan dan juga background serta data-data untuk texturing akan diguna pakai oleh setiap animator dalam proses animasi. Sebelum itu, berdasarkan storyboard, layout akan disediakan iaitu dengan menyediakan background yang dihendaki dan digabungkan dengan watak yang terlibat. Watak-watak 3D ini pula akan disusun pada posisi yang dihendaki. Kemudian file 3D layout ini akan diagihkan kepada beberapa animator untuk proses animasi. Dengan perkongsian file 3D layout yang sama, akan dapat mengelakkan kekeliruan dan memastikan kesinambungan (continuity) dan keseragaman dalam adegan tersebut walaupun dianimasikan oleh beberapa orang animator yang berlainan. Seterusnya, apabila semua file 3D ini sudah siap animasinya, ia akan dirender dalam bentuk image sequence dalam format PNG. Kesemua file imej yang sudah dirender ini akan dihantar ke workstation compositor untuk melakukan kerja-kerja compositing.

Najib yang menjadikan Adlin Aman Ramli sebagai idolanya kini semakin mendapat tempat dihati warga seluruh Batu Pahat.

Penyumbang suara untuk watak-watak utama. Grrr.. Auww!

Begitulah serba sedikit kisah-alkisahnya dengan Kancil.
Sejujurnya, kami pernah berada di suatu tahap yang amat tertekan kerana kekangan kewangan untuk meneruskan projek ini. Setakat ini kami terus bertahan atas dasar prinsip, semangat dan percaya solusiNya - tetap ada buat kami. InsyaAllah. Sasaran kami adalah untuk menyiapkan animasi ini secepat mungkin memandangkan kini, kami telahpun didatangi beberapa tawaran berpotensi!

Para karyawan yang terjebak sepenuhnya dengan projek Kancil ini.

"Penerbitan rancangan animasi berkualiti, terancang, teratur, kosisten dan berterusan amatlah penting dan dapat membantu membangunkan negara. Era globalisasi menghendakkinya dilakukan dengan serta merta. Kita tidak lagi mahu penyamun, dan askar yang sakit jiwa menjadi wira di negara kita. Kanak-kanak dan remaja yang mudah pengaruh dengan budaya asing mesti diasuh dan disediakan minda mereka dengannilai-nilai yang baik yang ditampilkan melalui cerita dan wira-wira kita. Mungkinkah tidak lama lagi kita akan melihat Sang Kancil sekali lagi beraksi di kaca televisyen? Mungkinkah anak-anak kita tidak lagi tertanya: Sang Kancil – ke mana kau? Sebaliknya, dengan penuh riang dan gembira, mereka akan tertanya Apa khabar, Sang Kancil?" - Hassan Abd. Muthalib (Presiden ANIMAS)

(Petikan penutup Kertas kerja En. Hassan Abd. Muthalib yang telah dibentangkan di Dewan Bahasa & Pustaka sempena Minggu Sastera Kebangsaan Nov 2000)

Wednesday, July 15, 2009

Asia-Pasific Broadcast Union (ABU) - Bahagian 2

Kekalutan 3-4 minggu ini berakhir. 2 judul animasi berikut berjaya dihasilkan. Huh!

1. Animation World
Durasi : 3 minit ++
Pengarah : Mohd Zahir Zainal Abidin

Secara ringkas Animation World mengisahkan seorang kanak-kanak yang dibawa mengembara ke dunia animasi setelah dikidnap. Disana dia melalui pengalaman melihat sendiri bagaimana proses-proses pembangunan watak 3D itu dilakukan dari perspektif pengkidnap yang bertukar menjadi rakan mayanya iaitu Kancil. Keadaan bertukar cemas dengan kemunculan Harimau dan Gergasi.


2. Cici the Noughty Goose
Durasi : 3 minit ++
Pengarah : Abu Zaharen Abu Talib

Cici the Noughty Goose adalah kisah seekor anak angsa yang nakal. Suka cari gaduh sana-sini dan gagal mematuhi arahan ibunya supaya duduk dirumah dan baca buku. Obsesinya pada kelajuan mengakibatkan Cici terjebak dalam kemalangan ngeri - akhirnya!
Animasi ini sesuai disyorkan sebagai tontonan wajib kepada kaki rempit dan malaon jalan raya yang lain.

Akhir kata dari saya, jangan merempit dan.. majulah animasi untuk Negara.

Thursday, July 2, 2009

"Animation Showcase" di sana-sini.

Anda terjebak secara langsung atau tidak dengan "industri" animasi Negara?

Atau anda mungkin akan terjebak?

Jika begitu anda pasti tidak mahu melepaskan peluang ke Animation Showcase yang sedang/ bakal dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan berikut;

1. MMU - Film & Animation Showcase 2009
Dianjurkan oleh para pelajar Degree Multimedia (Film & Animation) tahun akhir. Final projects mereka terbahagi kepada 3 kategori iaitu visual effects, motion graphics & character animation. Maklumat terperinci boleh diperolehi disini >> http://fashowcase09.com/

2. Diploma Showcase Pelajar Animasi KYM.
Akan berlangsung pada 6-10 Jul 2009, Isnin - Jumaat bertempat di Kolej Yayasan Melaka. Pada tarikh 11-12 Jul 2009, Sabtu - Ahad pula di Melaka Mall Shopping Complex. Dengar ceritanya ada 3 daripada 13 orang pelajar yang kemaruk buat 3D. Selebihnya memilih untuk membuat animasi 2D. Tema kali ini adalah cerita-cerita rakyat. http://portal.kym.edu.my/stms/index.html

3. Tradigital Mythmaking: Mitos Tradisional & Animasi Digital
Dianjurkan oleh Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik (FACT), Kampus Puncak Perdana, UiTM pada 15 - 18 Julai 2009 dengan kerjasama Institut Goethe Kuala Lumpur & Persatuan Animasi Malaysia. Selepas majlis pelancaran, satu forum Cerita Rakyat & Mitos Tradisional dalam Era Digital bersama Dr Hatta Azad Khan, Dr Wolf Volker, Hannes Rall & Hassan Muthalib akan diadakan. Di sebelah petang pula, ada sesi tayangan filem animasi Jerman & perbincangan Hannes Rall dengan para pelajar animasi.
http://www.goethe.de/ins/my/kua/en4649971v.htm

Apalagi? Ayuh!

Monday, June 29, 2009

Asia-Pasific Broadcast Union (ABU) - Bahagian 1

ABU adalah sebuah kesatuan profesional yang dibarisi oleh stesen-stesen TV seluruh Asia-Pasifik seperti EBS (Korea), NHK (Japan), CCTV / RTPRC (China), RTM (Malaysia), MNB (Mongolia) dan TRT (Turki). Kalau tak silap ada 194 members di 57 negara. Penubuhannya pada tahun 1964 bertujuan memajukan teknologi penyiaran sesama ahli (negara anggota) dengan menganjurkan program-program yang boleh di kongsi faedahnya. Begitulah sefaham saya yang tak berapa nak faham ni. Antara program tahunan yang biasa kita dengar ialah ROBOCON? Alah.. pertandingan inovasi teknologi robotik antara IPT tu la. Selain itu mereka juga menganjurkan forum, seminar, bengkel penerbitan, latihan, publisiti dan ulasan teknikal teknologi terbaru bidang penyiaran. Banyak lagi.. Sila layari laman sesawang berikut untuk maklumat lebih terperinci >> http://www.abu.org.my/

Antara scene yang belom pon di composite lagi

Produksi Aniotek Sdn. Bhd. dipelawa oleh RTM untuk menyediakan contents for ABU Children's TV Programme Item-Exchange Meeting & Workshop 2009. Terbahagi kepada 4 kategori;

1. Children's Stories
2. How Things are made
3. Nature/ Animal/ Environment
4. Innovation and Experimental

Cici the Naughty Goose

Kami cukup berbesar hati dengan pelawaan tersebut. Apatah lagi ini merupakan kali pertama kami bekerjasama dengan RTM. Pendek cerita, kami diminta menyediakan persembahan berbentuk animasi berdurasi 3 minit untuk kategori Children Stories dan Innovation and Experimental. Lebih mencabar lagi kami cuma ada kurang 30 hari untuk menyiapkan persembahan tersebut!

"Animation World" melibatkan scenes live action composite dengan dunia animasi

Demi menyahut cabaran, pasukan Aniotek sedang bertungkus lumus menyiapkan misi ini. Kini, kami telah pon berada diperingkat akhir kerja-kerja produksi. Ini termasuk rakaman video dan proses animasi. Saya akan catatkan kesudahan kisah menyayat hati ini dibahagian kedua nanti. Apa yang penting - projek ini perlu disiapkan sebelum 10hb Julai ini. Pasti disiapkan.

Thursday, June 25, 2009

"Pengukir Mimpi"

-adalah judul sebuah lagu yang saya tulis pada tahun 2007.

"Pengukir Mimpi" asalnya mahu digunakan sebagai lagu tema sebuah siri animasi yang sedang saya terbitkan ketika itu. Namun atas beberapa isu pengurusan, saya menarik diri dari mengendalikan projek tersebut. Lagu itu akhirnya saya kongsikan di myspace/psychotekwave.

Gambaran susuk-susuk saiko yang dirakam secara illustrasi pada Jun 2007 - artis Abu Zaharen

2007 - 2009

Banyak sangat peristiwa kritikal yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini. Alhamdulillah, semuanya dapat dilalui dengan baik sekali setakat ini. Kumpulan mabuk darat yang bercita-cita menakluk cakerawala nampaknya tetap boleh bernafas lagi. Puak ekstrim ini ternyata semakin saiko. Cetusan gejalanya kini bukan lagi terhad kepada litup penerbitan animasi 2D & 3D semata-mata. Kini penularan wabak psych-otek-niosis mencakupi pelbagai medium dan format digital. Dari program television, media interaktif, webtv, video korporat, simulasi maya sehinggalah kepada pengurusan pentas dan pameran, sistem bunyi dan pencahayaan serta khidmat rundingan sebaran informasi dan pengkomersilan.

Lebih i-yo-on kerja-kerja kami telah mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara pada acara dan festival-festival seperti KLIFF 2008, Anugerah Karyawan Muda, Comblast Award, CG Overdrive 2009 dan Asia-Pasific Broadcast Union (ABU). Melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula kami diberi kepercayaan menerbitkan bahan-bahan berbentuk video dan program interaktif bagi tujuan promosi IPT tempatan ke luar negara sepanjang 2008. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberi peluang kepada kami untuk menyumbang karya di eduwebtv.com (terima kasih KPM!) - saya baru diberitahu semalam hasilan tak seberapa itu telahpon diusung ke beberapa negara afrika untuk di-jobo-kan sempena siri lawatan pegawai-pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM ke sana.

Susuk-susuk diatas terus berleluasa dan semakin mengganas. Jaga-jaga! "Bila keranda dibawa nanti barulah air mata bercucuran.."

Sesungguhnya, puak ini berasa sangat bahagia dan berpuas hati dengan laluan disini. Kredit kepada funder sindiket kami; TUHAN yang esa. Apa yang telah diperuntukkan, kami sambut dengan lafaz syukur pada setiap helaan nafas. Justeru, para pengukir mimpi ini akan terus menghambat bintang, menjejak kosmos ilusi. Ayuh!

Thursday, June 18, 2009

CGOVERDRIVE 2009

KANCIL selected for CG EXCELLENCE at CGOVERDRIVE 2009, Singapore!


Berita ini cukup mengembirakan saya. Setidak-tidaknya, kami pasti karya yang satu ini dinilai baik dan dihargai. Bukan sedikit cabaran membangunankan projek animasi KANCIL ini. Semoga tuhan terus mengurniakan belas serta ruang bagi kami meneruskan usaha. Amin.

Tuesday, June 16, 2009

Selamat berjaya!

Ada yang bertanya, sesuaikah wanita menceburi kerjaya sebagai seorang animator?

Hmm.. Rasanya memang tidak ramai animator wanita di negara kita. Kerjaya mencabar ini memang lebih didominasi oleh lelaki. Sejak zaman Fine Animation di PJIP dahulu, satu-satunya animator wanita yang saya kenali cuma Kak Sherinaazlin sahaja. Beliau ini memang cukup saya kagumi. Saya sendiri sebenarnya mendapat pendedahan pertama tentang dunia animasi daripada beliau inilah. Bukan saya sahaja, malah beberapa lagi rakan-rakan animator seangkatan dengan saya. Namun apa yang lebih hebat, kini separuh daripada para animator di studio saya adalah anak didik beliau belaka! -dan Kak Sherina masih terus ampuh berjuang bersama-sama kami.

Tak percaya? Itulah kenyataannya.

Alahh.. sodeh eh pulak ghoman Kak Shey ha.. sabar yo kak..

Baru-baru ini keluarga Aniotek kehilangan seorang animator wanita yang sangat berbakat. Beliau terpaksa menamatkan khidmatnya bersama kami kerana mengikut suaminya berpindah ke Selayang. Nampaknya tiada siapa lagilah selepas ni yang mahu menjadi penganjur serba-boleh segala aktiviti di studio ini. Kak Sherina sabar ye!
Buat Nora, saya ucapkan selamat berjaya. Budi dan jasa Nora takkan kami lupakan sampai bila-bila.

Jangan lupakan anak-anak didik Nora ni pulak!

Hah! Ini satu lagi berita penting. Ahmad Firdaus ataupon Labi telah selamat melangsungkan perkahwinannya dengan sapo tah namo eh, budak Linggi koba dek orang.. Untuk makluman, Labi merupakan pengarah urusan Psychotek Sdn. Bhd. yang aktif dalam kerja-kerja penerbitan video korporat dan komersil di seluruh Lembah Kelang, Borneo dan beberapa kawasan Afrika Utara sejak zaman selepas perang lagi.
Selamat berjaya menempuh alam rumahtangga diucapkan kepada Labi!
Haa.. kalau anak dah berderet-deret sok, camni la ghoman eh!

Friday, May 29, 2009

Projek X - Shooting!

Besar cabaran "biken filim" ni rupa-rupanya. Filem bolehlah dikatakan lantai terbaik bagi mementaskan pelbagai cabang seni (seni visual, lakonan, audio, kesan khas, props dll - multimedia). Filem yang baik menuntut komitmen dan kretiviti tinggi seluruh tenaga produksinya. Lebih-lebih lagi bila bekerja dengan bajet yang terhad. Umang-ai.., pasti sangat mencemaskan. Segalanya perlu dirancang dengan teliti dan banyak perkara perlu di"kautim" terlebih dahulu. Faktanya 100 lebih shot perlu dihabiskan dalam masa 2 hari sahaja!

Pujian harus berikan kepada seluruh warga kerja yang terlibat di lokasi. Saya cukup kagum dan berterima kasih kepada beberapa individu yang sanggup menyumbangkan masa serta tenaga profesional mereka secara PERCUMA bagi menjayakan projek ini. Saya percaya bakat dan kegigihan luar biasa mereka akan membentuk "gelombang yang hebat" dalam industri perfileman Negara satu hari nanti. Saya bangga berjuang bersama-sama mereka! (you know who you are my friends..)

Berikut adalah antara wajah-wajah dan aksi-aksi ditempat kejadian;

Sunday, May 24, 2009

Melentur buluh biarlah dengan pelempang.

"Semua ibu-bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya". Namun pengertian "yang terbaik" buat anak-anak, sangatlah berbeza praktisnya kepada setiap ibu-bapa di dunia ini. Pada saya perkara terbaik WAJIB saya berikan kepada anak-anak adalah keperluan utama (selain keperluan asas) mereka iaitu kasih-sayang dan pendidikan. Memberi kasih sayang dan mendidik anak adalah dua perkara yang berbeza namun boleh dizahirkan dalam masa yang sama. Saya memilih menggunakan pendekatan yang agak konservatif. Kata orang tua-tua dahulu, "sayang anak tangan-tangankan". Saya berasakan peringatan ini masih lagi releven walaupun di zaman serba digital ini. Setidak-tidaknya saya tetap percaya, "penangan" abah adalah antara penyumbang yang menjadikan saya "orang" hari ini. Memang menakjubkan hanya dengan sebiji pelempang - abah mendidik dan juga memberi isyarat jelas dalam satu masa, beliau amat menyayangi saya. Terima kasih abah! Saya mempraktikkan teknik yang sama juga dan setakat ini ia cukup berkesan sekali.

Hari ini saya perhatikan ramai ibu-bapa yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan anak mereka seorang "pandai". Berbagai-bagai tips daripada pembacaan, iklan tv dan nasihat pakar dirujuk bagi memperolehi jus-jus kepandaian ini. Keperluan menjadi manusia pandai di zaman akan datang agaknya dilihat sangat penting. Ibu mengandung yang rajin membaca dan membuat latihan matematik dikatakan akan melahirkan anak yang rajin membaca dan pakar matematik juga. Malah kini, sudah ada susu formula yang dirumus khusus dengan bahan-bahan yang bila diminum akan meningkatkan daya fokus kanak-kanak terhadap pelajaran. Hebat! Selain itu menghantar anak-anak ke pusat pra-sekolah terpilih dan mahal juga menjadi amalan hari ini. Seorang rakan saya menghantar anaknya ke sekolah Jepun seawal umur tiga tahun. "Memang berbaloi-baloi!" - reaksi beliau apabila saya cuba mendapatkan komen. Begitulah antara usaha-usaha yang semahu-mahunya di laksanakan oleh semua ibu-bapa untuk menjadikan anak mereka pandai.

Baguslah. Kesedaran ibu-bapa sekarang tentang pentingnya penguasaan ilmu sebagai tiket untuk seseorang manusia itu berjaya dalam kehidupannya kelak semakin menjadi-jadi. Bukan macam tahun-tahun sebelum 80-an dulu. Orang kaya-kaya sahaja yang mahukan anak mereka pandai. Ini kerana pewaris yang tidak pandai adalah sesuatu yang amat "suwey" dan dipercayai menjadi punca harta kekayaan nenek moyang mereka gagal di pertahankan kelak. Senang cakap, "mengabeh-an bogheh ajo" kata orang Negri Sembilan. Benarkah begitu? Mungkin benar juga. Agaknya sebab itulah kita dapat lihat orang kaya-kaya juga yang terus kaya. Tapi benarkah mereka benar-benar kaya dalam segala hal? Sungguh subjektif pula apabila memperkatakan tentang "kekayaan". Hish, nantilah.. lain kali kita cerita pasal topik yang satu ini pula.

Saya sebenarnya cukup fleksibal dalam mendidik. Bukanlah sebab saya tidak mengambil berat soal pendidikan. Tapi saya menolak cara pendidikan yang keras memaksa, membanding-bandingkan, (Contohnya; Ehh.. anak aku dapat no. 1 periksa hari tu! Tak sia-sia aku hantar dia tusyen kat "Pusat Tusyen Malatop" tu.. yuran bukan sikit-sikit tau. 26 jam sehari, 8 hari seminggu aku paksa dia belajar. Mana tak terer macam aku dolu-dolu jugak! Ehh, lupa plak nak tanya, anak ngko dapat nombo braper? ) dan semua usaha memandaikan anak dengan seberapa pantas. Bukankah proses pembelajaran sepatutnya menyeronokkan?

Anak-anak saya sedang lepak di bawah jambatan (macam abahnya dulu).

Sejujurnya saya tidak kisah langsung tentang profesion apakah yang bakal diceburi anak-anak saya bila mereka dewasa nanti. Asalkan mereka berbuat kebaikan, berupaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat, dirinya bahagia dan membahagiakan orang lain sudah cukup membuat saya senang hati.

Saya cuma mahu bekalkan mereka dengan "survival kit" yang saya kira boleh juga dijadikan option kalau-kalau mereka gagal mencapai tahap terbaik melayakkan diri mencelah dalam bidang-bidang kerja yang kononnya profesional seperti peguam, arkitek, doktor, jurutera atau akauntan - ah, kolotnya. Ada baiknya anak-anak saya menguasai Bahasa Mandarin, bermain muzik, melukis dan melibatkan diri dengan sukan ekstrem. Hidup tidak perlu terlalu serius. Tidak juga harus dipandang mudah. Hidup adalah saling memerlukan. Mereka yang mendakwa telah berjaya dengan hasil usaha yang bersendiri sahaja adalah seorang pendusta.

Kembali kepada asas. Apa yang pendusta ini perlukan adalah kasih sayang dan didikan sempurna yang perlu dizahirkan sekaligus, iaitu pelempang!

Tuesday, May 19, 2009

Apa Kata Hati? Hassan Muthalib

Berikut adalah catatan En. Hassan Abd. Muthalib (Presiden ANIMAS) yang baru dikirim kepada saya melalui e-mail. Saya merasa gembira dan bertuah kerana beliau sudi berkongsi kata hatinya. Catatan penting ini dipetik dari buku yang beliau sedang tulis. Terima kasih En. Hassan!

CHAPTER 7
ANIMATION FOR FEATURE FILMS

Mat Sentol was the first local to get the opportunity to make stop-frame sequences and animated titles and credits for Cathay-Keris’s films. For the series of Mat Bond detective films, Mat Sentol used cutout photographs and shot them against stills of the sky or relevant backdrops with a Mitchell camera. More films followed utilizing his photo-cutout animation: Mat Bond (Mat, the Private Eye, 1967), Mat Rajor Kapor (Mat, the Swindler, 1967), Mat Lanun (Mat, the Pirate, 1968), Mat Toyol (Mat, the Spirit). With Mat Magic (Mat, the Magician, 1971), Mat Sentol was in his element creating his own magic with in-camera visual effects acting alongside John Calvert, a visitng magician.

The next animator to be involved in animation for features was Hassan Abd. Muthalib. In 1984, he animated the longest opening title sequence (5 minutes in length) for the feature film, Mekanik (The Mechanic) under the animation studio, FilmArt by Norhan Mat in 1982 (Malaysia’s first animation studio). Hassan differed in his approach to animated titling from that of Mat Sentol. Mat’s titles were mainly letters and words in random movement and were mainly for effect. Hassan discussed with Mekanik’s director, Hafsham, about creating a storyline that had a connection to the events in the film. Hafsham came with a series of notes and rough drawings that he had made and outlined some of the effects that he wanted. Hassan then came up with a storyboard for Hafsham’s approval. The final animation had the names of the actors and crew animating to appropriate sound effects that were edited by Effendi Raja Din. The opening sequence had the name of Azmil Mustapha (the hero and a newcomer to the screen) panning across the screen with a learner-driver’s sign dangling from his name. An editor’s Moviola panned up from the bottom of the screen, with the name of the editor projected on its screen. The film screen then went blank after a simulated ‘film tear’ in the projector. This segment was effective enough to have the audience turn to look at the cinema projector, who thought that the film had actually torn! Effendi won a Best Editor award for the film at the Malaysia Film Festival in that year.

Hassan then created animated sequences for the feature, Mat Gelap (Mat the Detective, 1990), which was the first (and only film since), to incorporate animated characters and also the first to combine animation with live action. Imuda, the hero in the film, played the role of a cartoonist and was, in reality, a cartoonist himself. Imuda designed the animated characters and backgrounds and supplied a rough colour scheme. In effect, Imuda became the first cartoonist to have his characters animated for the cinema screen. Under Norhan Mat’s company, FilmArt (set up in 1982 and the first animation company in Malaysia), Hassan planned and animated the scenes and also did the inking on cels with Norhan later doing the painting. The total duration of the animation for Mat Gelap was about four and a half minutes with an animated opening that also included the main title of the film. The ending had the animated character interacting with the live hero. A number of short sequences served as inserts throughout the film sometimes acting as a transition.

As the film did not have a written script, Hassan had no idea as to what the director wanted precisely for the animation sequences (unlike Hafsham who had a concept and even some detailed suggestions for Mekanik). All that he received for Mat Gelap were some vague notes as to what was intended. In desperation, Hassan wrote a detailed storyline for the animation sequences and also came up with idea for the ending where the hero meets the animated character (Mat Gelap). Only then was the director able to ‘see’ the story and suggested changes. As the animation over live action was not budgeted for, Hassan agreed to do it for free and only charged the producer for the expenses of the art materials used. Hassan also suggested some visual effects such as an animated brush wipe to reveal the live action as well as match dissolves from a rotoscoped scene to the live action. For his efforts, the film garnered a Jury Award for Best Visual Effects at the Malaysia Film Festival for that year.

The next film that had an animated opening title was the comedy, Yes, Tuan! (Yes, Boss! - Zulkiflee M. Said, 1996). After the film was completed, the producer, Nik Fadzil, felt that the film lacked ‘spice’ and wanted to include an animated opening title to give it added interest. He contacted Hassan Abd. Muthalib who was then at work on Silat Legenda at Peninsula Pictures. Hassan did the storyboard with the animation done by Wan Mohd. Nuruddin, a key animator working on Silat Legenda. Local producers were not very much in favour of animated opening titles for features due to the added cost. As such, there was a lull before another animated opening title appeared 7 years later. This was in Lips to Lips (Amir Muhammad, 2000). The titling sequence was animated by Deepak Kumaran Menon. This was to be the first to be done digitally, Next was Gila Bola (Football Crazy – Zulkiflee M. Said, 2003), followed by Ah Loke CafĂ© (Anwardi Jamil, 2004) that was done by Fly Studios. With Apa Kata Hati (What Says the Heart? – Saw Teong Hin, 2008), animated opening titles became more sophisticated. It was made by Aniotek Sdn. Bhd. for Nuorg, a company specializing in animation and visual effects. Titling became more realistic with Susuk (Amulet – Amir Muhammad/Naiem Ghalili, 2008) becoming a part of the live action itself. The word ‘Susuk’ slowly appeared on a human body, animated as if it were being forced up through the skin.

Monday, May 18, 2009

Apa Kata Hati?

Setiap kali menonton sesebuah filem, bahagian yang paling saya tunggu-tunggu adalah "opening title" dan "closing credit"nya. Bahagian ini biasanya dibuat dalam bentuk montaj (grafik atau animasi) merupakan bayangan kepada cerita yang bakal ditonton. Contohnya kalau kita menonton filem adiwira, montajnya cenderung memaparkan konsep panel komik. Ini bertujuan mempertegaskan filem yang bakal ditonton adalah sebuah karya adaptasi dari komik tertentu. Antara opening title dan closing credit yang saya rasa cukup menarik ialah filem-filem James Bond, 300, Ratatouille, Mummy - Tomb of Dragon Emperor dan banyak lagi!

Sajian montaj yang lazat ini bukanlah perkara baru. Seingat saya filem Mekanik (lakonan Azmil Mustapha) yang diterbitkan pada awal tahun 80-an dulu pun sudah menggunakan montaj grafik (animasi?) sebagai opening title filem tersebut. Tapi entah kenapa selepas itu memang tidak banyak filem-filem tempatan yang berusaha untuk menyelitkan montaj sebegini dalam persembahan mereka. Agaknya, mungkin belum ada produksi yang khusus dalam skop pembangunan kerja (montaj filem) ini diMalaysia.

video

Sebuah filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

Pasukan produksi saya berpeluang terlibat dalam menyediakan opening title filem "Apa Kata Hati?". Montaj ini berbentuk animasi 2D. Kerja-kerja penghasilan dimulakan dengan rekaan watak dan konsep. Pada peringkat awal kami diminta bekerjasama dengan pasukan Nuorg Sdn. Bhd. Nuorg juga telah mengusulkan papan cerita. Namun setelah melalui beberapa siri rundingan damai, konsep warna dan penceritaan diubah mengikut kehendak pengarahnya - Saw Teong Hin. "Misti ciriaaa.." kata beliau. Keseluruhan proses pembangunan animasi hinggalah ke pos-produksi dilakukan sepenuhnya di studio kami. Kerja-kerja animasi melibatkan cell drawings (2D) dan penyediaan elemen-elemen 3D. Bahan-bahan mentah ini kemudiannya digoreng didalam After Effects sebelum disusun mengikut scenes untuk suntingan. Akhir sekali montaj yang telah diluluskan oleh para panel (2 hari sebelum eidilfitri - fuh!) diusung ke Finas untuk proses "kinetransfer".

Monday, May 11, 2009

Projek X - Pembangunan watak janaan komputer

Modeling Process adalah aktiviti membentuk watak 3D. Proses ini lebih kurang seperti membuat gubahan melalui kaedah mencanai, menguli serta menepuk-nepuk unsur yang bernama polygon. Dengan bantuan beberapa peralatan tersedia dan khas di dalam program 3D pilihan, kerja-kerja pembinaan ini hanya boleh dilakukan oleh insan-insan yang berjiwa murni sahaja. Rupa yang terbentuk akan diperhalusi sehinggalah terhasil model yang memuaskan hati ampunya rekaan.

Model ini tidak lengkap sekiranya tidak diwarnakan. Proses memberi warna-warna kehidupan pada model ini di panggil texturing. Ini penting untuk menyerlahkan lagi keanggunan si-model 3D tersebut. Warna-warna pilihan pula perlulah mengikut tema kemasyarakatan watak. Seperti kita juga, kalau ingin menghadiri kendiri kahwin. Pakailah warna-warna ceria. Barulah kena dengan tema! Cubalah elakkan memakai pakaian berwarna hitam. Warna hitam lebih sesuai digunakan untuk menghadiri majlis orang mati ataupun ke konsert death metal.

Akhir sekali, model ini akan di susuk dengan kerangka dan tulang-temulang. Proses ini dinamakan rigging. Pemasangan kerangka ini memerlukan pengamalnya menguasai bahasa-bahasa tertentu contohnya "MEL" ataupun "MAXscript". Syarat ini membolehkan mereka berkomunikasi secara berkesan dengan entiti yang mendiami perut program. Setelah beberapa siri "bercakap dengan program" diusahakan, pendek kisah.. maka model ini siap-sedia untuk di kerjaen.

Tuesday, May 5, 2009

Projek X - Konsep

Biken Filim!

Saya memang ingin biken filim. Keinginan ini sebenarnya sudah jadi kegilaan. Ya! saya sudah gila mahu biken filim. Malangnya saya tidak pernah terlibat secara langsung dengan penerbitan filem komersial. Itu menjadikan saya buta filem. Walaupun saya seorang graduan multimedia yang mengkhusus ke bidang filem dan animasi, itu cuma nama. Tidak ada isinya! Amat dengkek pemahaman saya tentang filem. Cuma disuap dengan garis-garis prinsipal filem yang tidak seberapa, pastinya tidak menjadikan saya seorang yang arif dalam seni filem.

Tapi saya langsung tidak peduli itu semua. Filem adalah medium bercerita. Itu yang saya tahu. Bercerita tidak perlukan format yang standard. Ada kisah yang perlukan sehingga 3 jam untuk diceritakan. Macam cerita hindustan. Ada juga kisah yang cuma memerlukan 30 saat. Tapi bercerita di kedai kopi dan bercerita melalui filem sangatlah berbeza kisahnya. Bercerita di kedai kopi cuma memerlukan sang pencerita bermodalkan kahak dan lidah sahaja. Bercerita bermediumkan filem pula menuntut penceritanya bermodalkan uang! Bahan utama ini akan memberi kesan langsung terhadap mutu dan rasa filem yang mahu digarap.


Antara lakaran awal konsep rekaan watak CGI

Gila! Mahu biken filim. Sedangkan saya "sebok gila". Kesibukan yang menggila menggodam ruang kesempatan saya untuk meneruskan kerja gila tersebut. Namun itu semua alasan duniawi semata-mata. Agen medula yang masih tersisa berbisik "ini kirja misti mau jalan!". Nah! Sebuah projek filem pendek akhirnya dirancang juga penerbitannya. Setakat ini kerja-kerja pra-produksi berjalan agak lancar. Filem pendek yang akan memanfaatkan 100% kepakaran dalaman (in-house) ini dijadualkan produksinya pada akhir bulan Mei ini. Kami menemui kesukaran menemukan judul yang sesuai. Atas kebebalan itu kami namakan sahaja filem ini "Projek-X"!

Monday, April 27, 2009

Geng Revolusi - Bermula?

Geng (seorang budak besar dan seorang budak kecik) sedang memberikan pose istimewa kepada jurufoto bertugas.

Saya berkesempatan menonton filem Geng - Pengembaraan Bermula di Finas semalam (Ahad, 26 April) sempena Apresiasi Filem tersebut. Kejadian ini bukanlah dirancang. Kebetulan saya dan keluarga mahu melawat Zoo Negara. Dalam perjalanan tiba-tiba saya menerima undangan yang dikirim oleh En. Hasan Mutalib melalui sms. Setelah rundingan tergempar dijalankan bersama saf famili, kami membuat keputusan menerima sahaja undangan itu. Isteri saya cukup gembira kerana ke Zoo se-dari awal, bukanlah lagi destinasi mengembirakan baginya. Manakan tidak, masuk kali ini sahaja (jika berlaku) sudah lebih 20 kali saya mengheretnya ke Zoo Negara! Saya yang seronok pergi ke Zoo sebenarnya.. hehehe.
Wahh.. memang tak disangka hero-hero saya seramai 3 orang itu tidak meragam langsung sepanjang tayangan. Ini adalah kali kedua saya menonton filem ini. Kali pertama saya menontonnya bersama anak sulung saya, Tufah dan semua rakan studio. Tufah memang cukup minat dengan watak Upin dan Ipin. Jadi untuk berkongsi ke"teruja"an pengalaman penonton filem animasi 3D pertama hasil karyawan tempatan ini, saya memang mahu mengukir peristiwa bersejarah ini bersama permata-hati saya. Kami adalah "Geng".. kan?

Syabas kepada para animator dan seluruh karyawan yang terlibat dalam produksi filem ini. Mereka telah meletakkan satu penanda aras yang baik dalam industri penerbitan animasi tempatan. Harapan saya untuk jangkamasa lima tahun ke depan ini, Negara akan ada lebih banyak produksi multimedia yang dimiliki sepenuhnya oleh bakat-bakat muda. Barulah kita boleh mula bercakap tentang revolusi!

Thursday, April 23, 2009

Maafkan saya cikgu.

Jaga-jaga cikgu.. saya datang!

Saya pernah ingin menjadi seorang arkeologis. Keinginan itu terpaksa saya benamkan sebab realitinya saya seorang yang malas pergi sekolah. Keputusan peperiksaan saya tak pernah berada pada paras yang munasabah dan meyakinkan sesiapa. Bukan sebab saya malas belajar cuma, saya memang malas pergi sekolah (?). Di sekolah saya akan didera dengan rotan, dibebel, diseksa dengan homework, dikerah seperti unta dengan membawa buku teks seberat 50kg dari rumah ke sekolah setiap hari! Saya selalu sahaja menjadi sasaran duster dan "loceng hikmat" cikgu disiplin yang tak pernah lupa menyenaraikan nama saya setiap minggu sebagai penerima anugerah tetap di majlis public canning (adehh.. birat woo!). Terima kasih cikgu disiplin (cis!).

Tapi itu dulu.. Sekarang saya suka pergi sekolah. Banyak betul sekolah telah saya pergi dan jelajahi. Ironik. Sekolah bukanlah sebuah pusat siksaan pada saya lagi. Malah guru-gurunya juga sentiasa ramah. Memang tak pernah kurang karipap dan bergelen-gelen air sirap disediakan untuk menyambut ketibaan saya. Gadis-gadis pengawas (yang kaki bodek dan ketagih glamer itteww..) sentiasa ada mengiringi. Sekarang, saya sungguhhh suka pergi sekolah.

Itu berlaku bukanlah disebabkan keinsafan diri. Bukan juga kerana saya telah memaafkan cikgu disiplin itu (kesan birat tak hilang lagi woo!) . Bukan. Sebetulnya, semenjak setahun lepas saya telah terlibat dalam sebuah projek membangunkan siri dokumentari untuk keperluan Kementerian Pelajaran Melaysia. Siri dokumentari yang bertajuk "Best Teaching Practice" memerlukan saya membuat rakaman ke sekolah-sekolah terpilih seluruh tanahair. Terpaksalah saya meredah bandar dan desa, gunung dan paya sampailah ke sekolah penempatan orang asli.

Memang menarik! Apatah lagi untuk mereka-mereka yang berjiwa kodroi. Produksi saya dibawah label Dofotek dan Psychotek Post aktif dalam kerja-kerja penerbitan video korporat dan dokumentari. Untuk rekod, kami merupakan produksi yang terpilih di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menyediakan video-video promosi Pengajian Tinggi Malaysia ke luar negara semenjak tahun 2008.


Monday, April 20, 2009

Kejayaan milik semua.

Apakah konsep kejayaan?
Adakah kejayaan itu diukur pada berapa banyak uang di saku kita?
Atau berapa dasyatnya kereta besar yang menjalar ganas?

Membicarakan tentang kejayaan memang seronok. Lebih-lebih lagi pada sesiapa yang merasakan diri mereka telah berjaya. Namun, adakah kejayaan milik semua orang? Untuk soalan ini jawapan saya adalah YA! - kejayaan adalah milik semua. Sudah tentu setiap orang berhak merasa berjaya dan entiti-entiti yang terang-terangan mendakwa diri mereka telah sangat berjaya bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tabiat ini berlaku kerana di dorong oleh perasaan ke'teruja'an yang melampau. Saya petik sedikit rakaman kata-kata Tun Dr. Mahathir dalam Video Ulangtahun Ke-25 MAMPU, Jabatan Perdana Menteri tahun 2002 yang pernah diterbitkan oleh saya.

"Kejayaan itu bukanlah bersifat statik. Kejayaan itu berubah-ubah dari satu tahap ke tahap yang lain. Apabila kita merasakan telah mencapai suatu kejayaan. Sebenarnya ada banyak lagi kejayaan yang boleh dan perlu kita raih di lain masa"

Begitulah lebih kurang amanat beliau. Saya tak pernah lupa kata-kata itu. Jadi sekiranya kita rasa diri kita tak berguna kerana telah banyak yang kita usahakan namun masih belum mencapai kejayaan yang diharap, rileks beb.. sebenarnya kita telahpun berjaya! Renungkan-renungkanlah kejayaan-kejayaan hebat kita sebelum ini. Kalau anda berjaya berhijrah dari kampung ke Kuala Lumpur, kejayaan juga tu. Dapat kerja baru, suatu kejayaan. Dianugerahkan cahayamata adalah kejayaan. Ada rezki lebih, belanja kawan-kawan tetap satu kejayaan. Jadi sempena meraikan kejayaan kita, marilah kita semua bersyukur moga-moga lebih banyak kejayaan akan kita raih dilain masa- insyaALLAH.

Sambil-sambil itu saya dan rakan seperjuangan ingin berkongsi rasa bahagia kerana karya animasi kami yang berjudul "KANCIL" telah diiktiraf dan dianugerahkan beberapa Award. Antaranya; "Official Selection (Top 5)" di Kuala Lumpur International Film Festival, "Best Creativity" & "Best Animation Film" di Comblast Award dan "Filem Animasi Terbaik" di Anugerah Karyawan Muda. Semoga usaha kami untuk menerbitkan karya ini dalam bentuk siri animasi TV terus dipermudahkan oleh-Nya.

Sunday, April 19, 2009

Hello dunia, saya Otekkekatak!

Huh!

dengan keluhan diatas akhirnya saya secara rasmi menjadi seorang blogger (akhirnya!). Saya bukanlah seorang yang rajin menulis. Atas sebab itulah saya telah mengupah seorang sahabat untuk membantu menulis thesis masa final year degree dulu. Bukan sebab saya malas, tapi sebab saya sangat sibuk masa tu. Entah kenapa rezki saya begitu murah (alhamdulillah), saya terus ditawarkan bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat latihan kemahiran vokasional sebaik sahaja habis praktikal di Flare Studios. Kini, berkat anugerah yg esa itu saya masih lagi bersama-sama beberapa bekas pelajar saya (termasuk beberapa bekas tenaga pengajarnya juga!) berjuang dan berkarya bersama-sama demi kelangsungan survival kami. Syukur!

Apa kau buat sekarang ni?

Itulah soalan lazim kawan-kawan. Memandangkan akhlak saya yang tak pernah serius dan suka lepak di sana-sini masa zaman sebelum perang dulu membuatkan diri ini tidak pernah berada dalam kelompok mana-mana saingan. Kawan-kawan saya memang ramai. Kawan sekolah, kawan sekampung, kawan kolej, kawan camping, kawan masa kerja kat Percetakan Negara, kawan masa kerja photographer, kawan serumah bujang, kawan zaman gelap 1 (Taman Melawati), kawan zaman gelap 2 (plaza warisan), kawan di MMU, kawan masa kerja di UPM dan entah la.. ramai lagi la (Maaf la kalau ada yang tertinggal tu ye..)

Hello geng! Hidup ni memang kelakar. Saya memang tak pernah terpikir akan terjebak dalam bidang kerja yang sekarang ni. Maafkanlah saya yang pernah berjanji (kepada rakan-rakan band semasa form 4 dulu) bahawasanya kita akan sama-sama menjadi rockers tegar suatu hari nanti. Saya tetap ingat sewaktu kita sama-sama kena public canning dulu sebab kita tak buat homework math yang berlambak. Itu semua berlaku kerana kita sedang ingin menumpukan usaha kita mencipta lagu rock kapak yang tak pernah siap itu. Memang! Mereka tak pernah paham.. (aku sendiri pon tak paham-paham sampai sekarang sebenarnya).

Untuk pengetahuan semua, saya kini seorang Multimedia Content Producer. Saya banyak terlibat dalam kerja-kerja penerbitan animasi, video, audio, e-learning dan program-program digital untuk permintaan-permintaan liar yang datangnya dari dalam dan luar negara! Maklumat-maklumat sindiket halal saya bolehlah disiasat serba sedikit dengan melayari laman sesawang http://www.aniotek.com.my/ dan http://www.psychotek.com.my/