Sunday, May 24, 2009

Melentur buluh biarlah dengan pelempang.

"Semua ibu-bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya". Namun pengertian "yang terbaik" buat anak-anak, sangatlah berbeza praktisnya kepada setiap ibu-bapa di dunia ini. Pada saya perkara terbaik WAJIB saya berikan kepada anak-anak adalah keperluan utama (selain keperluan asas) mereka iaitu kasih-sayang dan pendidikan. Memberi kasih sayang dan mendidik anak adalah dua perkara yang berbeza namun boleh dizahirkan dalam masa yang sama. Saya memilih menggunakan pendekatan yang agak konservatif. Kata orang tua-tua dahulu, "sayang anak tangan-tangankan". Saya berasakan peringatan ini masih lagi releven walaupun di zaman serba digital ini. Setidak-tidaknya saya tetap percaya, "penangan" abah adalah antara penyumbang yang menjadikan saya "orang" hari ini. Memang menakjubkan hanya dengan sebiji pelempang - abah mendidik dan juga memberi isyarat jelas dalam satu masa, beliau amat menyayangi saya. Terima kasih abah! Saya mempraktikkan teknik yang sama juga dan setakat ini ia cukup berkesan sekali.

Hari ini saya perhatikan ramai ibu-bapa yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan anak mereka seorang "pandai". Berbagai-bagai tips daripada pembacaan, iklan tv dan nasihat pakar dirujuk bagi memperolehi jus-jus kepandaian ini. Keperluan menjadi manusia pandai di zaman akan datang agaknya dilihat sangat penting. Ibu mengandung yang rajin membaca dan membuat latihan matematik dikatakan akan melahirkan anak yang rajin membaca dan pakar matematik juga. Malah kini, sudah ada susu formula yang dirumus khusus dengan bahan-bahan yang bila diminum akan meningkatkan daya fokus kanak-kanak terhadap pelajaran. Hebat! Selain itu menghantar anak-anak ke pusat pra-sekolah terpilih dan mahal juga menjadi amalan hari ini. Seorang rakan saya menghantar anaknya ke sekolah Jepun seawal umur tiga tahun. "Memang berbaloi-baloi!" - reaksi beliau apabila saya cuba mendapatkan komen. Begitulah antara usaha-usaha yang semahu-mahunya di laksanakan oleh semua ibu-bapa untuk menjadikan anak mereka pandai.

Baguslah. Kesedaran ibu-bapa sekarang tentang pentingnya penguasaan ilmu sebagai tiket untuk seseorang manusia itu berjaya dalam kehidupannya kelak semakin menjadi-jadi. Bukan macam tahun-tahun sebelum 80-an dulu. Orang kaya-kaya sahaja yang mahukan anak mereka pandai. Ini kerana pewaris yang tidak pandai adalah sesuatu yang amat "suwey" dan dipercayai menjadi punca harta kekayaan nenek moyang mereka gagal di pertahankan kelak. Senang cakap, "mengabeh-an bogheh ajo" kata orang Negri Sembilan. Benarkah begitu? Mungkin benar juga. Agaknya sebab itulah kita dapat lihat orang kaya-kaya juga yang terus kaya. Tapi benarkah mereka benar-benar kaya dalam segala hal? Sungguh subjektif pula apabila memperkatakan tentang "kekayaan". Hish, nantilah.. lain kali kita cerita pasal topik yang satu ini pula.

Saya sebenarnya cukup fleksibal dalam mendidik. Bukanlah sebab saya tidak mengambil berat soal pendidikan. Tapi saya menolak cara pendidikan yang keras memaksa, membanding-bandingkan, (Contohnya; Ehh.. anak aku dapat no. 1 periksa hari tu! Tak sia-sia aku hantar dia tusyen kat "Pusat Tusyen Malatop" tu.. yuran bukan sikit-sikit tau. 26 jam sehari, 8 hari seminggu aku paksa dia belajar. Mana tak terer macam aku dolu-dolu jugak! Ehh, lupa plak nak tanya, anak ngko dapat nombo braper? ) dan semua usaha memandaikan anak dengan seberapa pantas. Bukankah proses pembelajaran sepatutnya menyeronokkan?

Anak-anak saya sedang lepak di bawah jambatan (macam abahnya dulu).

Sejujurnya saya tidak kisah langsung tentang profesion apakah yang bakal diceburi anak-anak saya bila mereka dewasa nanti. Asalkan mereka berbuat kebaikan, berupaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat, dirinya bahagia dan membahagiakan orang lain sudah cukup membuat saya senang hati.

Saya cuma mahu bekalkan mereka dengan "survival kit" yang saya kira boleh juga dijadikan option kalau-kalau mereka gagal mencapai tahap terbaik melayakkan diri mencelah dalam bidang-bidang kerja yang kononnya profesional seperti peguam, arkitek, doktor, jurutera atau akauntan - ah, kolotnya. Ada baiknya anak-anak saya menguasai Bahasa Mandarin, bermain muzik, melukis dan melibatkan diri dengan sukan ekstrem. Hidup tidak perlu terlalu serius. Tidak juga harus dipandang mudah. Hidup adalah saling memerlukan. Mereka yang mendakwa telah berjaya dengan hasil usaha yang bersendiri sahaja adalah seorang pendusta.

Kembali kepada asas. Apa yang pendusta ini perlukan adalah kasih sayang dan didikan sempurna yang perlu dizahirkan sekaligus, iaitu pelempang!

2 comments:

  1. WAHH.
    hahha. saya suka bila saudara berkata bahawa saudara xkesah tntg profession apa yg bakal diceburi oleh anak2 saudara.

    saya berharap agar anak2 saudara tidaklah mengalami tekanan sperti saya. haha :D
    mana tidaknya, saya ni seorg insan yang amat meminati segala jenis bidang berkaitan seni tetapi saya juga harapan keluarga (mereka sangat berharap agar saya dapat menjadi seorang doktor) :))

    erm..ntahlah.
    p/s: saya masih seorang pelajar. mungkin saya boleh jadi seorang doktor sambil berkarya. haha :D

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana membaca blog saya.
    Jangan lupa berikan saya rawatan percuma nanti ye! hehehe..

    ReplyDelete