Sunday, February 21, 2010

Akademia dan Profesionalisme

Saya menamatkan pengajian akademik secara formal dalam bidang animasi pada tahun 2002. Hampir separuh daripada classmate saya memilih untuk terus berkhidmat dengan pihak penaja schoolarship. Sebahagiannya lagi memilih samaada menjadi lecturer ataupon menyambung pengajian akademik. Cuma peratusan kecil yang memilih untuk menongkah arus. Coba untung nasib mempertaruhkan bakat dan skil dalam industri multimedia yang masih sangat kecil ketika itu.

Saya juga mempunyai beberapa pilihan. Nasib saya cukup baik apabila ditawarkan pekerjaan sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat latihan MLVK swasta (antara yang terawal) dalam mengimplimentasikan NOSS (National Occupation Skill Standard) Multimedia-Animasi. Walhal ketika itu saya masih lagi berada dalam tahun ketiga pengajian. Nampaknya perlumbaan melahirkan graduan-graduan multimedia khususnya animasi sudah pon bermula ketika itu. Seingat saya selepas tahun 2002 institusi pengajian yang menawarkan kursus-kursus multimedia tumbuh bagaikan cendawan. Modus mereka biasanya berorientasikan keuntungan ke atas bilangan pelajar. Sedih tapi benar.

Saya sempat mengajar 2 batch terawal -tahap 1 & 2 sebelum mengambil keputusan untuk melanjutkan lagi pengajian akademik. Sebabnya mudah. Pertama saya sendiri merasakan belum cukup ilmu untuk mengajar. Kedua sekiranya saya ingin terus menjadi lecturer, saya perlu membina "academic intelligence" dan dalam bidang akademik, intelligence (describing a property of the mind comprehending related abilities, such as the capacities for abstract thought, reasoning, planning and problem solving, the use of language, and to learn) seseorang itu diukur daripada "sijil kelayakan akademik" seperti degree, master & phd. Peluang saya terbuka luas apabila diterima berkhidmat sebagai system analyst di Institut Multimedia & Perisian, UPM -boleh buat postgrad study dalam masa yang sama.

Namun akhirnya saya berhenti mengaji. Saya sedar telah tersasar dari matlamat awal. Terlalu ikutkan arus. Terlalu normal. Minat saya bukanlah pada bidang akademik. Saya tidak ingin menjadi academician. Saya ingin praktis. Soalnya praktis memerlukan saya membangunkan set intelligence yang berlainan iaitu professional intelligence. Intelligence jenis ini tidak berjaya diajarkan dengan baik di akademi. Saya melihat banyak akademi (tidak semua) yang menawarkan kursus animasi di Malaysia masih gagal melatih profesional yang diharapkan dan memenuhi keperluan pasaran. Sebaliknya tugas itu dibebankan kepada industri. Solusi yang mudah.

Akademik dan profesional adalah amat berlainan. Akademia mengajar kita 1 + 1 = 2. Bidang profesional memerlukan kita menyelesaikan isu-isu seperti bagaimana 1 + 1 boleh menjadi 10? Sesungguhnya ilmu itu amal. Hanya dengan amalan, barulah kita memiliki ilmu itu. Academik adalah seperti mengajar seseorang itu berenang. Sungguhpon kita lambakkan buku-buku, pertontonkan segala video-video tutorial terkini dan dengan jurulatih yang terbaik dan hebat sekalipon.. tanpa turun ke dalam air seseorang itu pasti tidak akan pandai berenang! .. apatah lagi menjadi perenang profesional (dapat cari makan dengan berenang).

Sehingga hari ini saya masih lagi menganggap aktiviti saya cenderung kepada penawaran "professional service" selain baru giat berjual-jualan (menjaja) produk animasi. Semenjak-dua ini adalah juga rakan-rakan sepengajian yang singgah bertukar-tukar khabar. Rupa-rupanya tak kurang yang dah bosan mengabadikan diri (mengabdikan sekiranya tidak rela) di bidang akademik. Heh, tidak boleh tidak.. untuk majukan diri di bidang akademik, mereka perlulah terus berusaha memanjat tangga-tangga sijil kelayakan yang perlu. Satu hal, orang akademik ni memang pandai bercakap. Saya terkedu bila diajukan soalan seperti "Macamana cara nak buat bisnes yang paling tak berisiko tapi boleh cepat kaya?" atau soalan seperti "Ada orang nak bagi aku modal RM 5 juta. Bisnes apa aku patut buat dan macamana nak sell to overseas?" -sebenarnya saya telah gagal menjawab soalan-soalan itu.

Ramai antara kita yang mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Tapi dengan amalan rutin yang biasa, manakan kita beroleh sesuatu yang luar biasa.

Seperkara lagi tentang pengamal akademik bidang pengajian animasi di Malaysia ini. Serasa saya, kebanyakan (bukan semua) pensyarah-pensyarah ini memang tidak pernah praktis! Lebih karut lagi ada diantara mereka ini bukanlah berlatar-belakangkan pengajian asas dan berpengalaman dalam bidang animasi. Jadi, tolonglah berhati-hati dalam menyampaikan wadah kepada pelatih-pelatih muda kita. Industri animasi di Malaysia tidak boleh dibandingkan secara terus dengan Amerika, Jepun ataupon Korea. Sebaiknya, saya sangat mengesyorkan pensyarah-pensyarah ini juga diwajibkan menjalani latihan praktikal 6 bulan ke setahun bagi meningkatkan sedikit professional inteligence mereka. Akademia perlu berperanan seperti yang sepatutnya. Sudah sampai masanya IPT melatih para profesional. Bukan terus kekal sekadar pusat akademik semata-mata.

Pandangan saya adalah bersifat semasa. Tidak perlu emo!



Sunday, February 7, 2010

Tak suka MLM?

"Heh, rimas betollah dengan orang-orang yang sebok bercerita pasal MLM ni!" -rungut seorang kawan sewaktu kami sedang menge-teh bersama baru-baru ini.

Banyak orang memang anti betul dengan MLM (Multilevel Marketing) atau perniagaan yang berkonsep pelan perniagaan pelbagai aras yang dijayakan dengan sistem agen berlapis upline-downline. Dengar sahaja MLM terus mencemek tak suka. Mungkin mereka, keluarga mereka pernah ada pengalaman pahit terjebak dengan MLM agaknya. Kadang-kadang tu saya tanya juga kembali "kenapa tak suka MLM?".

"Ntahlah. Bosanlah dengan orang MLM ni. Suka kacau masa orang, nak hepi-hepi tiba-tiba bukak cerita MLM pulak. Kondem orang suka-suka hati, cerita nak kayalah, kereta besarlah, freedomlah, ahhh.. tah hape-hapelah! Tak suka.." ngomelnya bersungguh. Sampai meleleh-leleh air liur beliau ("betol punya tak suka ni.." bisik saya dalam hati kehkhekeh..)

Saya terus teringat pengalaman sendiri -pernah di ajak menyertai MLM pada tahun 1995 dahulu. Semasa itu saya bekerja sebagai despatch di sebuah firma pengiklanan. Yang tukang mengajak ni bukan orang lain. Bos saya sendiri. Katanya untuk mempunyai pendapatan yang baik, seseorang itu harus berniaga. Hanya dengan perniagaan kita boleh merancang kearah fleksibiliti masa dan kewangan. - itu kata beliaulah.. dan sudah tentu, banyak lagi yang di"baca"nya ke telinga saya. Tapi, saya memang cukup negatif waktu itu. Langsung tidak berminat. LANGSUNG TIDAK!

Sehinggalah suatu hari saya telah dikelepet oleh beliau. Kononnya disuruh hantarkan beliau ke rumah. Tak boleh memandu katanya. Mengantuk sebab stay up over night malam sebelumnya. Rupa-rupanyanya saya telah dikidnap untuk menghadiri seminar pemasaran produk MLM yang diceritakannya tempohari. Saya punya menyirap tuhan sahajalah yang tahu. Tanpa ada pilihan saya pon dengar sahajalah.. apa sangatlah yang orang ramai-ramai ni kemaruk agaknya.

Sungguh tidak disangka, cuma perlu lima minit "kata-kata kahak " sahaja untuk mencuri tumpuan saya. Ya! Saya SANGAT kagum dengan pelan pemasaran MLM. Tidak hairanlah syarikat-syarikat berkonsep MLM boleh menjana keuntungan yang sangat dasyat dan mampu mengagihkan pendapatan yang dasyat juga kepada para agen mereka. Pada malam itu, sebenarnya saya telah menghadiri kelas perniagaan saya yang pertama dalam hidup dan ianya percuma!

Sehingga hari ini saya tidak pernah menjalankan apa-apa perniagaan MLM. Kerana saya lebih merasakan potensi saya cenderung kepada perniagaan konvensional. Tetapi saya sangat mengesyorkan kepada sesiapa yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan agar menghadiri seminar-seminar perniagaan MLM, Direct Selling ataupon Insurans. Terutama kepada mereka-mereka yang bukan dari business school dan tidak ada idea langsung tentang apakah dia "perniagaan". Kenapa? Kerana syarikat-syarikat MLM menyediakan program latihan yang sangat baik secara percuma tentang bagaimana mahu menjual dan memasarkan produk. Semua perniagaan adalah berasaskan aktiviti jual beli. Ilmu asas menjual dan memasar perlu dikuasai oleh sesiapa juga yang mahu berniaga.

Tak suka MLM?

Tidak mengapa jika anda mempunyai pilihan yang lebih baik. Cuma, janganlah beranggapan tidak elok kepada kawan-kawan yang memilih untuk membina kerjaya mereka dalam perniagaan MLM. Saya sendiri menimba pengetahuan dan pengalaman dalam bisnes melalui seminar-seminar MLM yang pernah saya hadiri dulu dan juga melalui sesi sembang-sembang dengan sahabat yang bergiat aktif dalam perniagaan MLM dan insurans. Saya suka ulang, ianya PERCUMA. Mereka begitu berbesar hati untuk berkongsi.